MUQADIMAH
Tajuk ini untuk ahli usrah WADAH Selangor, tidak merupakan tajuk perbincangan; tetapi lebih kepada pengukuhan dan tahap istiqamah dan kualiti dalam amalan. Persoalan seperti nawaitu, keikhlasan dan kejujuran dalam tarbiyyah ruhiyyah diberi perhatian. Perspektif yang betul dalam menempatkan amalan kerohanian dalam pembentukan insan al-kamil yang bersifat sepadu itu, merupakan perkara asasi yang wajar diperkemaskan.
Ikrar kita dalam doa iftitah sudah cukup kuat sebagai penyatuan sikap dan pendirian bahawa, sebagai hamba Allah, kita akan menjadikan seluruh hidup ini sebagai satu perjalanan kerohanian semata-mata mencari redha Allah dan tidak lain daripada itu.
”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(surah al-Rad : ayat 28)
Kisah Muhammad Al-Fateh, Ketua Tentera Islam yang berjaya mengembalikan kerajaan Uthmaniah, Turki daripada kerajaan Kristian merupakan bukti betapa pengisian amalan kerohanian harus dibangunkan dalam kerangka kesempurnaan dan keutuhan Islam.
Tokoh sufi alam Melayu seperti Syeikh Abdul Samad al-Falimbani adalah juga seorang mujahid anti penjajah yang berjuang membela agama dan tanah air. Orientasi keilmuannya bersifat inklusif dan sepadu.
Begitu juga dengan Bapak Mohammad Natsir, mantan Ketua Umum Masyumi adalah tokoh dakwah dan sekaligus tokoh politik. Syarahannya yang dibukukan dalam ’Fiqhud Da’wah’ memang menggambarkan seorang pemimpin da’i – ulama’ intelektual. Dalam bab ’Akhlaq Tiang Da’wah’ beliau menulis:
”Soalnya bagi seorang muballigh ialah, bahwa satu kali dia melangkah kaki ke dalam gelanggang da’wah, maka semua mata dan telinga di sekitarnya tertuju kepada pribadinya; kepada tingkah laku, kepada sifat dan tabiatnya ringkasnya kepada apa yang disebut ”hidup pribadinya”.
Boleh dikatakan, bahwa semenjak itu, dia sebenarnya, tidak lagi mempunyai hidup pribadi dalam arti yang lazim dipakai untuk orang lain. Semenjak itu dia menjadi ”milik masyarakat”, seorang ”public person” dalam arti yang luas. Dia tidak bisa bersikap; turut saja perkataanku, jarang perdulikan bagaimana aku dan apa yang aku lakukan di samping itu! Tidak! Andaikata ada sesuatu fungsi lain di mana yang bersangkutan bisa bersikap begitu, kedudukan sebagai seorang pendukung da’wah tidak mengizinkan berpendirian demikian.
Mau tak mau, gerak geri dalam hidup pribadinya bukan saja diperhatikan, tetapi juga langsung dijadikan orang bahan perbandingan dengan apa yang dianjurkannnya dan yang dilarangnya, sebagai muballigh.
Apa yang dilihat dan didengar orang dari hidup pribadinya itu bisa menambah kekuatan daya panggilnya sebagai pembawa da’wah; tetapi bisa pula melumpuhkan daya panggilnya, yakni, bila lain yang tampak dari yang terdengar.
Begitu pembawaan dari tugasnya.
Da’wah dan akhlaqul karimah adalah dua hal yang tidak bisa dipisahkan antara satu sama lain, kalau da’wah hendak berhasil. Banyak hal-hal yang sulit yang tak dapat diatasi dengan semata-mata ilmu yang kering, dapat diatasi dengan akhlaq. Sebaliknya banyak kesulitan baru yang bisa timbul bila da’wah tidak didukung oleh akhlaq”.
(muka surat 275)
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden WADAH menyifatkan Pak Nasir sebagai ’seorang negarawan yang kompeten, berintegriti moral dan pengamal gaya hidup sederhana’.
Barangkali bagi seorang da’i, dia cukup dengan ganjaran dari Allah; tidak meminta apa-apa dari manusia – beramal dan bekerja semata-mata kerana Allah. Tidak untuk mendapat sanjungan manusia atau menghindari celaan mereka.
Di antara pra-syarat untuk layak menjadi sebagai umat yang terbaik ialah sebagaimana ditegaskan dalam surah Ali Imran : 110 dan 104
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.
Maka, untuk memungkinkan kelayakan melaksanakan peranan sebagai pimpinan gerakan Islamiah, asas kekuatan kita ialah kekuatan kerohanian;
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)
(surah al-Muzammil : ayat 1 & 2)
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
(surah al-Muddathir : ayat 1 – 4)
Ayat awal dua surah makiah tersebut jelas mensyaratkan bahawa kejernihan dan kecerahan jiwa mendahului perintah berdakwah. Para da’i tidak hanya harus qawi’ (kuat – terampil, terurus dan tersusun rapi), tetapi amanah. Begitulah gambaran al-Quran tentang sifat Nabi Musa a.s. – Al-Qawi ul-Amin
MAKNA SPIRITUALISM
Berulang kali, al-Quran memperingatkan kita tentang dua potensi dan orientasi yang ada pada sifat asli insan;
Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian, Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
(surah al-Tin : ayat 4 – 6)
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; - Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)
(surah al-Shams :ayat 7 – 10)
Daripada dua surah tersebut di atas, antara lain Allah menjelaskan bahawa insan yang mukminin adalah insan yang :
1. Kesedaran bahawa kejadiannya yang ahsan taqwin
2. Beriman dan beramal soleh
3. Jiwa yang sempurna
4. Menuju jalan kepada ketaqwaan
5. Penyucian jiwa (tazkiah)
6. Al-falah (memperoleh kemenangan)
Nabi Allah Ibrahim berdoa kepada Allah s.w.t agar zuriatnya benar-benar patuh kepada perintah Allah;
”Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami; umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;
(surah al-Baqarah : ayat 128)
INSAN ADALAH MAKLUK SPIRITUAL YANG PUNYA JASAD
Penulis berbangsa Yahudi beragama Buddhist, Danah Zohar dalam bukunya ‘Spiritual Capital’ menyatakan, “spiritual is the wealth that you can live by”. Beliau semacam yakin dengan pencariannya bahawa elemen spirituallah yang menjadi teras kepada penginsanan manusia yang holistik. Yang menariknya dan amat mengelirukan apabila beliau menegaskan bahawa, “When I speak of spiritual intelligence, I do not mean anything to do with religion or with theological beliefs systems – this is spiritually seen as an enhancement of life in the world”.
Konosuke Matshushita, pengasas produk utiliti domestik pernah dibuat kajian ke atas gaya dan corak kepimpinannya oleh John Kotter. Dalam tesis PhDnya, melalui bukunya ‘The Leadership of Konosuke Matsushita’ antara lain memetik kata-kata Konosuke Matsushita:
“Possessing material comforts in no way guarantees happiness. Only spiritual wealth can bring true happiness. If that is correct, should business be concerned only with the material aspect of life and leave the care of the human spirit to religion or ethnic? I do not think so. Businessman too should be able to share in creating a society that is spiritually rich and materially affluent”.
Kalau hendak disenaraikan, mungkin banyak lagi pengakuan seperti ini dapat dimuatkan; mungkin pada perbincangan lain. Apapun sayang sekali ’rohani’ yang mereka maksudkan adalah bersifat horizontal (antara manusia dengan manusia) dan material untuk kebaikan dunia semata-mata. Dalam hubungan ini, Al-marhum Abul A’la Maududi melalui tulisannya, Ethical View Point of Islam’ menyatakan, ”The weakness of the ethical systems expounded by philosophers and the sages is not that they are totally devoid of truth and reality but that they regard some particular aspect of truth as the whole truth”.
Kita adalah insan rohani yang punya jasad! Mantan Presiden ISTAC, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dalam tulisannya ’The Nature of Man’ menyatakan, ”Man has a dual nature, he is both body and soul, he is at once physical being and spirit. God taught him the names (al-asma’) of everything … With reference to the meanings of the four terms (qulb, nafs, ruh, ‘aql) used in relation to the soul when they pertain to the soul of man, they all indicate an indivisible, identical entity a spiritual substance which is the reality or very essence of man”.
Yang membezakan kita dengan makluk lain ialah elemen ’ROH’
”Kemudian Dia menyempurkan kejadiannya, serta meniupkan padanya roh ciptaanNya ...
(surah as-Sajdah : ayat 9)
Di sinilah kesilapan Iblis dalam memahami insan. Keengganan Iblis untuk sujud kepada insan ialah kerana merasakan ciptannya daripada api adalah lebih mulia daripada Adam yang diciptakan daripada tanah. Iblis hanya mengukur elemen bodi jasmani manusia sahaja tanpa melihat faktor pembeda yang utama, iaitu ROH.
DWI-FUNGSI INSAN
Insan adalah ’abdillah dan sekaligus khalifatullah. Kita mengaitkan hablumminallah sekaligus dengan hablumminannas. Maka misi kita ialah pengabdian kepada Pencipta dan kebaktian kepada sesama manusia; memenuhi dwi-fungsi: keperluan insan dan keredhaan Allah.
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
(surah al-Mulk : ayat 2)
ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR WATU’MINUNABILLAH
Tiga kriteria Umat Al-Khair, umat terbaik ialah beriman kepada Allah, menegakkan yang makruf dan mencegah yang munkar (Ali ‘Imran 110). Mujahadah akan hanya dapat istiqamah dan mampu berdepan dengan mehnah perjuangan dan godaan nafsu dan syaitan apabila ianya berbekalkan jiwa yang mutma’innah sehingga melayakkannya bergelar muttaqin atau mu’minin.
Wallahu’alam.
Susunan:
Hj Nik Mohd Yusoff Nik Ismail
WADAH Selangor
Shah Alam Mei 2011
nmy_51@yahoo.com.my
Kertas kerja ringkas ini adalah draf awal yang dibentangkan dalam usrah WADAH pada 28 Mei 2011. Penyusun memohon maaf di atas segala kekurangan dalam kertas tersebut dan mengundang sebarang penambahbaikan melalui email di atas.
0 comments:
Post a Comment