Sunday, January 3, 2010

KENYATAAN MEDIA ABIM - POLEMIK KALIMAH ALLAH: ABIM KESAL KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.

ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik.

Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu. ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islam tersebut.

Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.

" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia

Thursday, October 22, 2009

SEMINAR PENDIDIKAN TINGGI ISLAM KE VII

TEMA : MEMBINA GENERASI ILMUWAN ULUL ALBAB
OBJEKTIF
i. Memupuk kefahaman yang mendalam maksud disebalik generasi ilmuwan Ulu’l Albab.
ii. Menyelidiki kaedah terbaik dalam pendidikan Islam bagi melahirkan generasi ilmuwan Ulu’l Albab.
iii. Menganalisis pelbagai cabaran dalam usaha membina dan melahirkan Ulu’l Albab.
iv. Peranan yang perlu dimainkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Islam amnya dan Kolej Dar al-Hikmah khasnya dalam membentuk generasi ilmuwan Ulu’l Albab.

TARIKH: 31 OKTOBER 2009, Sabtu.
TEMPAT: Auditorium Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bangi.

PENGANJUR: Kolej Dar al-Hikmah, Sg. Ramal Dalam, Kajang, Selangor
TENTATIF PROGRAM
8.00 - 9.00 pagi
Pendaftaran peserta
9.00 - 9.15 pagi
Bacaan Al-Quran oleh: Saudara Ahmad Tarmizi (Psrt Akademi al-Qur'an ke 2)
9.15 – 9.45 pagi
Ucapan alu-aluanDato’ Dr. Siddiq FadzilPresiden Kolej Dar al-Hikmah
9.45 – 10.30 pagi
Ucaptama Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan Profesor, Kuliyyah Usuluddin & Perbandingan Agama UIAM, Mantan Rektor UIAM
10.30 – 11.00 Kudapan
11.00 - 12.45 tengahari
Slot 1: “Wawasan Pendidikan al-Hikmah : Pembinaan Generasi Ulu’l Albab”
1) Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar Senior Research Fellow, Pusat Dialog keTamadunanTimbalan Canselor (Akademik & Antarabangsa)
2) Ustaz (Dr.) Muhammad Uthman el-Muhammady Fellow Akademik Kehormat ISTAC, IIUM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H
Sesi Soal Jawab
12.45 tengahari - 2.00 petang
Makan tengahari & Solat Zuhur
2.00 - 3.15 petang
Slot 2 : “Pendidikan al-Hikmah : Langkah-langkah Ke Arah Merealisasikan Pembinaan Generasi Ulu’l Albab”
1) Pro. Dr. Nik Azis Nik PaProfessor , Jabatan Matematik dan Pendidikan Sains, Falukti Pendidikan, UM
2) Dr KH Abdullah Syukri Zarkasyi Pengarah Pondok Gontor, Indonesia
Sesi Soal Jawab
3.15 - 4.45 petang
Slot Forum : “Cabaran ‘Pendidikan Yang Liberalatif’”
Panel Forum : Fan Yew Teng (Aktivis Bebas)
Dr. Sarjit Gill (UPM)
Dr Yap Sin Tian (Presiden Diong Jong Zong )
Moderator:Datuk Sahlan Ismail (JPM)
Sesi Soal Jawab

5.00 petang Bersurai
Penyertaan
atau hubungi 03-8925 2392(Pn Salawati)(Pn Zahrah)(Pn Azizah : 012-2374642)
Yuran Organisasi : RM95
Yuran Pelajar / Individu : RM45
Pelajar KDH : RM35

Tuesday, September 29, 2009

JEMPUTAN JAMUAN AIDILFITRI WADAH-ABIM-PKPIM & Agensi 1430H

Assalamualaikum wrh wbt

Presiden & Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat
Pengerusi & Lembaga Pengarah

Dengan segala hormatnya mengundang

YBhg. Dato' Seri/ Datin Seri/ Datuk/ Datin/ Tuan/ Puan/ Saudara/ Saudari

menghadiri

MAJLIS JAMUAN AIDILFITRI 1430H
WADAH-ABIM-PKPIM & AGENSI

Dengan Kerjasama

MASJID NEGARA

Pada

12 Syawal 1430H/ 1 Oktober 2009

Bertempat

Dewan Syarahan Masjid Negara, Jalan Perdana Kuala Lumpur

Masa

11:30 pagi hingga 4:00 petang

Mudah-mudahan Allah memberi kelapangan waktu untuk kita bersama-sama
bertemu dan mengukuhkan lagi ukhuwah.

www.abim.org. my

Pertanyaan dan maklumbalas, sila hubungi 016-208 1300 @ 013-380 3207

Thursday, September 17, 2009

Majlis Sumbangan Sekampit Beras & Sumbangan Hari Raya



Pada hari Sabtu 12 September 2009 bersamaan 22 Ramadhan 1430H ABIM Wilayah Persekutuan (AWP) dengan kerjasama dengan ABIM Pusat telah berjaya melaksanakan Majlis Serahan Sumbangan Beras & Hari Raya di Surau as-Shadiah, Blok 20, Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Sebanyak 40 keluarga yang terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas, golongan OKU dan ibu tunggal telah menerima sumbangan kotak barangan harian berserta beras pada hari tersebut yang telah disampaikan oleh Setiausaha Agung ABIM, Saudara Mohd Raimi bin Abdul Rahim dan Setiausaha AWP, Saudara Wan Nor Asmawi . Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

AWP ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih Jazakallahu khoiran kathira kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini khususnya kepada Ketua Helwa AWP, Puan Latipah binti Johdi dan suami; staf ABIM Sungai Besi; Puan Azini daripada FEDEC; ABIM Pusat dan para penyumbang yang dermawan.

Untuk makluman semua, AWP telah menerima lebih RM2,000 sumbangan wang tunai daripada individu-individu & ABIM Daerah. Dengan jumlah tersebut kita telah mampu menyediakan sebanyak 50 kotak barang keperluan harian yang mana 40 kotak telah diserahkan pada Majlis Serahan pada hari Sabtu berkenaan manakala 10 kotak lagi diserahkan secara terus kepada 10 keluarga lain di rumah mereka masing-masing.

Thursday, September 10, 2009

Majlis Sumbangan Sekampit Beras & Sumbangan Hari Raya

Assalamu'alaikum warahmatullah.
Muslimin yg dihormati sekelian, semoga semuanya berada di dalam kemanisan iman dan istiqamah menjalani ibadah Ramadhan al-Mubarak.
Insyaallah Majlis Sumbangan Sekampit Beras & Sumbangan Hari Raya yang kita cadangkan akan diadakan pada hari Sabtu ini 12-Sep-2009 untuk 38 keluarga.
Program bermula jam 9:30 pagi, bagi yang berkelapangan jemputlah hadir bersama2 ke tempat ini:
Madrasah as-Sadiah
Jalan 7/112A (Blok 20)
Taman Bukit Angkasa
Jalan Pantai Dalam
Kuala Lumpur
Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada saya di talian 019-326 6508, ketua HELWA AWP Puan Latipah Johdi 012-665 0986 atau mana2 exco AWP. Semoga segala urusan kita dipermudahkan oleh Ilahi.
Wassalam
ASMAWI

Monday, August 31, 2009

Isu Bantahan Pembinaan Kuil Sek. 23, Shah Alam: ABIM Nasihatkan Masyarakat Islam Supaya Berhemah Dalam Berbantah & Jaga Keharmonian Agama Di Malaysia

Siaran Media ABIM

29 Ogos 2009 : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menasihatkan masyarakat Islam di negara ini supaya berhemah dalam menyuarakan ketidakpuasan hati di dalam apa juga persoalan, terutama yang membabitkan isu-isu agama. Ini bagi memastikan supaya segala tindak-tanduk di dalam berbantah tidak menyumbang kepada terpudarnya imej agama Islam yang amat menekankan rukun hidup yang aman dan harmoni di antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Di dalam hubungan ini, sebarang tindakan yang boleh ditanggap dan ditafsirkan sebagai menghina simbol-simbol kesucian agama lain hendaklah dijauhi. Ini kerana, ia boleh mengundang reaksi yang buruk terhadap keharmonian beragama dan menajamkan lagi sikap prejudis di antara penganut agama. Prinsip akhlak dan adab Islam di dalam menangani pertikaian berkaitan persoalan melibatkan agama hendaklah dihayati oleh masyarakat Islam di negara ini. Ini sejajar dengan Firman Allah di dalam surah al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengentahuan (mengenai Allah). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitahu mereka kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”.

Sehubungan dengan itu, ABIM amat sedih dan memandang berat tindakan Jawatankuasa Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 yang membawa kepala lembu yang telah disembelih semasa majlis bantahan. Ini kerana, tindakan ini boleh ditanggap dan disalahtafsir oleh penganut agama Hindu sebagai satu tindakan menghina agama mereka oleh masyarakat Islam. Umat Islam juga dinasihatkan supaya merujuk ahli agama yang arif di dalam membuat apa juga bentuk tindakan yang secara langsung membabitkan agama lain. Ini bagi memastikan kesucian agama Islam dan kehormatan Ummah sentiasa terpelihara.

ABIM turut menggesa agar umat Islam di Shah Alam dan Kerajaan Negeri Selangor untuk percepatkan perbincangan berhubung dengan isu ini supaya ia tidak berlarutan dan boleh mengundang salah faham yang berterusan. Amalan dan budaya dialog hendaklah diamalkan sehingga ke tahap tertinggi di dalam menangani isu ini. ABIM percaya dan yakin masih terdapat ruang untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam suasana yang lebih kondusif dan bukannya dalam situasi tegang yang dikhuatiri mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama. Inilah perkara terakhir yang kita perlukan buat masa ini.

Dalam konteks ini, ABIM menggesa Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berwajib agar mempertimbangkan secara serius tuntutan penduduk setempat Seksyen 23 dengan mengkaji semula cadangan untuk menempatkan kuil di situ. Hakikat bahawa kawasan tersebut dihuni oleh majoriti penduduk beragama Islam dan ia telah mencarik sensitiviti mereka tidak harus dipandang ringan oleh pihak berwajib.


MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Wednesday, August 26, 2009

Isu Kartika: Kekeliruan masyarakat punca polemik, kata ABIM

PETALING JAYA: Keputusan hukuman sebatan yang dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Soekarno yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang telah ditangguhkan pelaksanaannya, telah mengundang pelbagai pendapat berhubung isu tersebut.

Menurut Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, perkara tersebut tercetus kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. "Tidak kurang juga yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998.

"ABIM ingin mengingatkan bahawa hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri, di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen ataupun akta di sesebuah negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan undang-undang jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah telah diperkenalkan dan dilaksanakan. Namun demikian, sehingga kini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.

Kartika, 32, sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang, Selangor semalam dari Ipoh, Perak bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saatsaat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

Kartika didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai tahun lepas.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Fadhlina berkata, mahkamah hanya menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut peruntukan perlembagaan walaupun kuasa yang diberikan sangat terhad.
"Selain peruntukan berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah, terdapat juga peruntukan lain berkitan kaedah dan pelaksanaan hukuman sebat yang merangkumi alat yang digunakan untuk sebatan dan tatacara pelaksanaannya.

"Malah, kaedah dan pelaksaaan sebatan ini sangat berbeza dengan pelaksanaan di Mahkamah Sivil sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang," katanya.

Justeru, beliau berkata ABIM menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman sebatan dan denda terhadap Kartika serta menghentikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah kerana dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"ABIM juga ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri. Apabila Mahkamah Syariah telah memutuskan hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang negeri, yang juga berada di bawah kuasa raja di sesebuah negeri. "Maka kerajaan persekutuan tidak boleh mencampuri urusan tersebut kerana ia adalah kuasa eksklusif negeri yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Tegasnya, hanya mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sahaja (dalam kes Mahkamah Syariah) yang boleh mengeluarkan perintah penggantungan tersebut di atas alasan rayuan yang dikemukakan atau apa-apa alasan lain yang munasabah di sisi hukum syarak. "Justeru ABIM melahirkan kekecewaannya terhadap campur tangan Peguam Negara yang dilihat bertindak atas desakan pelbagai pihak termasuk tekanan daripada luar negara.

"Yang jelas, Kartika Sari telah mengakui kesilapannya, beliau juga telah membuat pengakuan (iqrar) yang cukup kuat dan merupakan bukti yang kukuh bagi pensabitan kes di bawah undang-undang keterangan Islam, malah telah diberikan ruang untuk merayu dalam tempoh tertentu. Beliau memilih untuk menjalani hukuman tersebut dan pilihan tersebut harus dihormati,"katanya.

Katanya, prinsip Kartika Sari dan keluarganya yang nyata sangat menghormati undang-undang dan menjunjung tinggi perintah Mahkamah Syariah wajar dipuji dan dihormati. "Isu ini tidak perlu dipolemikkan dan dikelirukan. Malah sewajarnya semua pihak dianjurkan menghormati keputusan mahkamah dan pendirian Kartika Sari dan keluarganya dalam mempertahankan undang-undang Islam di Malaysia.

"ABIM menyeru agar hukuman ke atas Kartika Sari ini dijadikan iktibar dan pengajaran kepada umat Islam yang masih mengkonsumsi arak dan menghentikan segera amalan buruk tersebut,"katanya.
sumber daripada mStar Online.