Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation test link ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation test link ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation test link ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation test link ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation test link ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation test link ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.

Tuesday, April 26, 2011

TUDUHAN ZINA, LIWAT DAN MEMBUNUH MENURUT PANDANGAN YUSUF AL-QARADAWIY

Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan, terutama tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh
satu perbuatan yang haramkan secara tegas dalam Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.
dan azab-Nya. Ini kerana tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyebabkan kemuliaan diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau
perempuan. Ia juga boleh menyebabkan orang ramai buruk sangka terhadapnya.

Orang-orang yang rendah akhlaknya mungkin boleh melakukan tindakan-tindakan yang tidak diinginkan terhadapnya. Perkara sedemikian juga menyebabkan
tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, al-Qur’an mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta
yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah S.W.T.:

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang Mukmin dan Mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul
kebohongan dan dosa yang nyata.”

Firman Allah S.W.T.:
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang lengah (tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan keji) lagi beriman,
(dengan tuduhan zina) mereka terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi
saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Pada hari itu Allah akan memberikan mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah
mereka bahawa Allah-lah yang benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).” (an-Nur (24): 23-25)

Para ulama telah sepakat (ijma’) mengatakan dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki Mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita Mukminah. Ayat di atas turun dalam seperti ini (menggunakan perkataan Mukminat) kerana ayat
tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin Aisyah As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq.

Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W. selepas Khadijah r.a. Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan
dengan tuduhan yang keji. Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah
melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya. Orang-orang munafik
benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah.

Akhirnya turunlah ayat al-Qur’an tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah-lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada
segala tuduhan jahat.

Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.
Bacalah Firman Allah S.W.T. dalam surah an-nur yang berikut:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu
bahkan ia adalah baik bagi kami. Tiap-tiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa antara mereka yang
mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.” (an-Nur (24): 11-13)

Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuatan zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka
sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah diterangkan secara kiasan dalam undang-undang syariah: seperti besi celak dalm botol dakwat. Jika
orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaimana yang diterangkan di atas maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi
Allah S.W.T.

Allah menegaskan bahawa pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera dalam al-Qur’an al-Karim, iaitu pada Firman Allah S.W.T.: Inilah hukum Allah yang tegas. Sesiapa yang menuduh orang lain melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan
tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil dan tidak cacat keperibadiannya.

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan. Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur (24): 4-5)


Friday, April 1, 2011

MEMBEDAH AHSANA ‘L-QASAS: PENGKISAHAN QUR’ANI TENTANG YUSUF `A.S.


Dari sekian banyak kisah-kisah yang termuat dalam al-Qur’an, surah Yusuf diistimewakan dengan sebutan ahsana ‘l-qasas atau kisah terindah (surah Yusuf:3). Penamaan tersebut tentu ada justifikasinya. Ia adalah kisah paling lengkap dari segi liputannya. Pemerian tentang tokohnya (Yusuf `a.s.) menggenapi seluruh babak-babak penting sepanjang usia dari masa kanak-kanaknya hingga masa puncaknya ketika menjadi `Azizu Misr.

Setiap babak dipaparkan secara terperinci - adegan-adegan dan dialog-dialognya. Kisah Yusuf `a.s. adalah kisah yang paling sarat dengan mesej iktibar dan hikmah, di samping padat dengan nilai dan prinsip keilmuan yang cukup pelbagai: tauhid, fiqh, sirah, ta`bir mimpi, politik, ekonomi, pengurusan dan lain-lain.

Demikian pula dari segi aktornya yang juga cukup pelbagai, mewakili makhluk dari pelbagai jenis, sektor dan golongan: manusia (lelaki dan perempuan), nabi, jin, syaitan, malaikat, haiwan, raja, peniaga, ilmuwan dan orang awam. Kisah terindah dengan segala babak dan adegannya itu membawa pesan induk: maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika kuat.

Keindahan kisah Yusuf `a.s. dapat dinikmati dari segi gaya pengungkapan yang tepat dan padat, kata-kata yang singkat membawa makna yang luas, mendalam dan penuh hikmah. Juga dari segi olahan seni tentang pelbagai aspek kehidupan insani yang diungkapkan lewat paparan peristiwa-peristiwa nyata, tetapi sekaligus mengisyaratkan implikasi-implikasi kejiwaan-kerohanian: kasih ayah terhadap anak tersayang, kedengkian saudara-saudara kandung, derita batin orang tua yang kehilangan anak kesayangan, cinta, nafsu, fitnah, maruah, integriti moral dan lain-lain yang semuanya membawa pesan tentang kehidupan mulia dan bermaruah berasaskan nilai nilai taqwa dan kebenaran.

Kisah ini menampilkan Yusuf `a.s. dengan citra makhluk istimewa, lelaki paling kacak dengan daya pesona luar biasa sehingga wanita-wanita Mesir pengagumnya mengeksprasikannya lewat kata malakun karim (malaikat mulia). Tetapi mesej sebenarnya tidak sebatas keindahan fizikal lahiriah, tetapi lebih jauh daripada itu keindahan rohaniah yang disimbol dan dilambangkan dengan keindahan lahiriah itu.


Surah Yusuf - Penawar Lara Tahun Duka,

Sebagai salah satu surah Makkaiyyah yang turun pada tahun kesepuluh bi`thah, tahun yang dicatat sebagai `am al-huzn atau tahun duka, surah Yusuf membawa nada tersendiri, sesuai dengan suasana murung ketika itu. Pada tahun tersebut Rasulullah s.`a.w. kehilangan dua orang pendamping utama dalam perjuangannya iaitu Abu Talib (bapa saudaranya) dan Sayyidatina Khadijah r.`a. (isteri tersayang).

Kehilangan besar itu diikuti pula dengan bertambahnya keleluasaan penentangan ganas dan teror Quraysh terhadap Islam dan umatnya. Tidak seperti surah-surah Makkiyyah lainnya yang rata-rata bernada tegang dan kadang-kadang konfrontatif-kombatif, surah Yusuf lebih mengesankan rasa damai, tenang dan menyejukkan.

Kisah Yusuf `a.s. memang kisah terindah (ahsana ‘l-qasas) yang cukup mengesankan kerana ia bukan karya fiksyen, cereka imaginasi seniman; tetapi peristiwa nyata dalam sejarah yang diungkapkan lewat wahyu Ilahi. Pengkisahan Qur’ani pada hakikatnya adalah pengungkapan sunnatu ‘Llah, hukum sejarah ketetapan Ilahi yang tidak berubah. Derita adalah bahagian daripada kehidupan Yusuf `a.s., pewaris martabat kenabian. Seolah-olah derita adalah harga yang harus dibayar untuk martabat mulia bernama nubuwwah.

Demikianlah kehidupan yang dijalani oleh Yusuf `a.s., sebuah perjalanan hidup yang tidak putus-putus dirundung malang, mulai dari korban konspirasi kedengkian saudara-saudara sendiri yang mencampakkannya jauh ke pedalaman gaung perigi bagaikan sampah, dijual kepada pengembara bagaikan barangan murah, difitnah sebagai lelaki penggoda bermata keranjang dan akibatnya ia dipenjara sebagai banduan tak bermaruah. Tetapi kesudahannya, sikap tabah selalu membawa barakah, sabar menanggung musibah akan berakhir menuai tuah. Segalanya adalah rencana Ilahi untuk membina watak pejuang kebenaran di samping berkompetensi menempati posisi `Azizu Misr, orang kuat dan terhormat di Mesir.

Surah Yusuf yang mengungkapkan hakikat pahitnya hidup berprinsip dan getirnya istiqamah dalam perjuangan demi kemuliaan hakiki, meniupkan angin segar dalam kehidupan Nabi s.`a.w. yang kebetulan sedang menjalani hari-hari duka. Dari kisah Yusuf `a.s. Junjungan mendapat kekuatan menghadapi keganasan bapa saudaranya sendiri Abu Lahab dan Abu Jahl. Ternyata junjungan s.`a.w. tidak sendirian mengalami nasib dianiaya oleh anggota keluarga sendiri, Nabi Yusuf `a.s. juga telah lebih dahulu menjadi mangsa penderaan angkara saudara-saudara kandungnya sendiri.

Demikianlah kenyataan yang harus diterima bahawa yang namanya hasad, dengki, dendam, benci, angkuh dan lain-lain sejenisnya memang tidak mengenal mangsa, ia boleh berlaku terhadap siapa sahaja: saudara atau keluarga, kerabat atau sahabat. Junjungan s.`a.w. juga mendapat suntikan optimisme dan keyakinan baru bahawa apabila sampai masanya kegetiran yang sedang dialaminnya akan berlalu dan berkesudahan dengan kejayaan. Demikianlah sebuah surah penawar duka, pengubat derita. Penurunannya pada tahun murung `am al-huzn sungguh amat bererti. Ia terasa sebagai siraman kasih Ilahi yang menyejukkan dan pancaran cahaya yang menyinarkan harapan.


Pakej Penyelamat Ekonomi Mesir,

Menerusi perjalanan hidup hamba-Nya Yusuf al-Siddiq `a.s. Tuhan menyerlahkan kekuasaan-Nya merubah nasib seseorang - dari penjara ke tampuk kuasa, melalui proses yang di luar perkiraan politik manusia. Segalanya bermula dengan mimpi raja yang tidak ditanggapi secara serius oleh para pembesar di sekelilingnya. Mereka hanya menganggapnya sebagai adghathu ahlam, mimpi karut yang membingungkan.

Tetapi rupa-rupanya mimpi itulah yang menjadi titik mula rangkaian peristiwa yang akhirnya menampilkan Yusuf `a.s. di pentas dunia, menghadirkannya di panggung sejarah, dan lebih daripada itu mengabadikan namanya dalam kitab mulia wahyu Ilahi sebagai tokoh misali, wira Qur’ani ahsana ‘l-qasas, kisah terindah. Kisah bagaimana berlakunya perubahan nasib dari penjara ke tampuk kuasa itu terpapar indah dalam surah Yusuf ayat 43-57.

Mimpi tersebut tampaknya cukup meresahkan raja, tetapi tidak seorang pun dari kalangan pembesar-pembesar negeri yang tahu tentang mimpi. Mereka juga tampaknya tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap risiko pemaknaan mimpi (salah benarnya) dan langkah-langkah susulannya. Menerusi usaha seorang pembantunya yang dahulu pernah berkenalan dengan Yusuf `a.s. sewaktu sama-sama di penjara akhirnya raja mendapat ta`bir dan makna yang cukup meyakinkan tentang mimpinya dari Yusuf `a.s., malah yang diberikan bukan cuma makna tetapi juga saranan langkah-langkah yang harus diambil.

Memang wajar jika raja ingin sekali bertemu dengan orang yang berjasa menta`birkan mimpinya, bahkan bukan hanya ingin bertemu, ia juga ingin menyerahkan tugas pelaksanaan langkah-langkah mengatasi krisis ekonomi yang diramalkan akan berlaku. Baginya tidak ada orang lain lagi. Orang yang tahu menta`bir mimpinya dan tahu pula langkah-langkah susulannya, dialah yang paling layak melaksanakannya kerana hanya dia yang memahaminya, yang punya wawasan, punya konsep, punya formula dan punya strategi. Untuk itu diperintahkannya agar Yusuf `a.s. dikeluarkan dari penjara dan langsung dibawa ke istana.

Demikian sikap raja, lalu bagaimana pula pendirian Yusuf `a.s.? Di sinilah terserlahnya kebesaran jiwa dan keagungan peribadi Yusuf `a.s., nabi da`i-murabbi yang mendapat kurnia hukman wa ` ilman, kebijaksanaan dan keilmuan dari Tuhan. Dengan ikhlas beliau telah memberikan khidmat tafsiran mimpi dan saranan langkah-langkah menghadapi musim kegawatan ekonomi, khidmat yang diberikan tanpa syarat. Sekalipun dirinya sendiri teraniaya dalam penjara gara-gara fitnah jahat, tetapi beliau tetap siap menyumbangkan khidmat demi tanggungjawab kemanusiaan. Beliau tidak mengambil kesempatan menjadikan kepakarannya menta`bir mimpi sebagai kekuatan tawar-menawar bagi mendapatkan pembebasan, walhal beliau tahu bahawa kepakarannya sangat diperlukan.

Sekali lagi Yusuf `a.s. mengambil sikap yang mencengangkan semua orang ketika perintah pembebasan disampaikan kepadanya. Nabi Allah itu tidak mahu keluar dari penjara, sebaliknya beliau meminta utusan raja itu pulang untuk menanyakan kepada rajanya tentang wanita-wanita yang memfitnahkan dahulu. Maksudnya Yusuf `a.s. hanya akan keluar dari penjara setelah namanya dibersihkan. Baginya yang penting bukan keluar penjara, tetapi pemulihan maruah dan kehormatannya.

Tidak ada gunanya kebebasan tanpa kehormatan. Apa lagi apabila nanti beliau melaksanakan tugas mengurus ekonomi negara, tanpa integriti moral yang tinggi tugas tersebut tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Yusuf `a.s. perlu mendapat kepercayaan dari semua pihak, kerana beliau amat menyedari bahawa tahap tahap kepercayaan yang rendah (low trust) akan menjadi kendala kelancaran tugas.

Yusuf `a.s. Berjaya memperjuangkan pemulihan maruah dan kehormatan dirinya apabila wanita-wanita yang memfitnahnya dahulu membuat pengakuan bahawa beliau tidak bersalah. Isteri al-`Aziz sendiri mengaku beliaulah yang telah menggoda Yusuf `a.s., bukan sebaliknya. Hanya setelah itu Yusuf `a.s. keluar meninggalkan penjara untuk menyanggupi tugas mengurus ekonomi negara yang sedang diancam krisis gawat, dengan mendapat dukungan dan kepercayaan penuh raja yang memberinya kedudukan makinun amin, kukuh dan terpercaya.

Nabi Yusuf `a.s. tidak tampil dengan citra hamba setia yang siap menjunjung titah, tetapi dengan kewibawaan peribadi termasuk kridential kelayakan hafizun `alim, pengurusan yang kompeten dan berkesan serta ilmu yang relevan, cukup layak mengendalikan portfolio khazanah negara khususnya ekonomi pertanian. Rancangan ekonomi empat belas tahunnya ternyata berjaya menyelamatkan rakyat Mesir dari landaan krisis ekonomi akibat kemarau panjang.

Kejayaan tersebut antara lain kerana kebijaksanaan dasar ekonomi yang berasaskan keseimbangan pelaburan, perbelanjaan dan penabungan; di samping pelaksanaannya yang cekap dan berkesan. Nabi Yusuf `a.s. sendiri turun padang melakukan pemantauan dari dekat dan secara langsung (yatabawwa’u minha haythu yasha’). Demikianlah terlaksananya sebuah model pakej ekonomi penyelamat yang meliputi kebijaksanaan perancangan, kewibawaan pengurusan dan keberkesanan pelaksanaannya.

Ternyata, model pembangunan ekonomi yang dipromosikan oleh Nabi Yusuf `a.s. tidak hanya bersifat kuantitatif dan kebendaan. Ia juga berdimensi kemanusiaan yang kental dengan nilai-nilai moral dan sosial. Dengan kata lain, ia mungkin dapat disebut sebagai dasar ekonomi rahmatan li ‘l-`alamin, ekonomi yang merahmati umat sejagat, bukan ekonomi kapitalistik yang rakus dan mementingkan diri. Dimensi kemanusiaan ini tampak jelas apabila daerah-daerah sekitar Mesir yang juga ditimpa musibah kelaparan turut mendapat limpahan bantuan ekonomi (bahan makanan) dari `Azizu Misr Yusuf (`a.s.).

Mereka berdatangan ke Mesir setelah tersebarnya berita bahawa ekonomi negara itu stabil dan mampu melaksanakan skim bantuan kemanusiaan. Ternyata Nabi Yusuf `a.s. tidak hanya berfikir dalam konteks ekonomi nasional, tetapi juga ekonomi regional, malah telah meletakkan asas-asas penting pembinaan order ekonomi global yang yang kukuh dan manusiawi. Nabi Yusuf `a.s. telah meninggalkan legacy moral kemanusiaan yang cukup inspiring: bahawa pada saat paling susah, masih ada sifat pemurah; bahawa ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian.

Penutup,

Demikianlah sebahagian daripada sorotan terhadap ahsana ‘l-qasas yang menampilkan kisah Sayyidina Yusuf al-Siddiq `a.s., nabi-da’i-murabbi multi dimesi dengan kepakaran yang pelbagai, dari penta`bir mimpi hingga ahli ekonomi. Yang jelas apa pun bidang keahliannya, profesi apa pun kerjayanya, tidak pernah walau sesaat Yusuf `a.s. melupakan misi asasinya: dakwah dan tarbiah membina ummah.


Oleh: Y.Bhg. Dato' Dr. Siddiq Fadzil,
Presiden Kolej Dar al-Hikmah.

Saturday, March 26, 2011

PENDEDAHAN VIDEO AKSI SEKS: ABIM GESA PATUHI TATACARA PENGADILAN SYARIAH

Merujuk kepada pendedahan salah laku seksual pemimpin politik negara oleh laman Malaysiakini bertajuk 'Rakaman aksi seks pemimpin utama pembangkang? ', Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan bahawa sebarang pertuduhan ataupun dakwaan salah laku moral ke atas seseorang individu haruslah disalurkan menerusi prosedur perundangan yang sah. Jika kes berkenaan itu membabitkan seseorang Muslim, kedua pihak pendakwa serta pembela sepatutnya menyalurkan kes mereka untuk diadili serta dinilai menerusi prosedur perundangan syariah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Al-Qur'an dan Sunnah.

Dalam hal ini, ABIM memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping iqrar daripada individu yang dituduh. Tatacara perundangan syariah telah menetapkan prosidingnya yang tersendiri untuk memelihara bukan sahaja moral serta maruah individu yang dituduh, bahkan juga integriti pihak yang membuat tuduhan.

Kegagalan memenuhi prasyarat yang ditetapkan akan meletakkan pihak yang terlibat dalam hukuman jenayah Qazaf yang turut menafikan hak si tertuduh sebagai saksi di masa-masa akan datang. Hal ini selari dengan salah satu prinsip utama Maqasid Syariah iaitu untuk menjamin serta melindungi maruah dan serta kehormatan seseorang individu di samping memelihara keharmonian hubungan di antara manusia.

Dalam konteks perundangan negara yang unik, seseorang tidak sahaja berhak menuntut untuk dibicarakan serta membela dirinya menerusi lunas perundangan sivil yang sah. Bahkan sebagai seorang Muslim juga, beliau berhak untuk dibicarakan serta menafikan sebarang dakwaan yang dikemukakan ke atasnya dalam prosiding perbicaraan Mahkamah Syariah sepertimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, ABIM menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan oleh Syariah untuk kebaikan bersama. ABIM juga meminta sebarang perbincangan serta perbicaraan kes hanya dilakukan oleh autoriti-autoriti yang berkenaan menerusi perundangan yang telah ditetapkan di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika.

"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"

DR. MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia

Wednesday, March 23, 2011

Video seks: ABIM ingatkan jenayah qazaf


Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM) mengingatkan tentang kesalahan Qazaf dalam sistem perundangan Islam yang menanti pembuat "dakwaan liar'' di luar prosiding perundangan tanpa saksi mencukupi.

Presiden ABIM Dr Muhamad Razak Idris berkata, hal itu selari prinsip utama Maqasid Syariah atau tujuan Undang-undang Islam bagi untuk melindungi maruah individu dan memelihara hubungan antara manusia.

"Dalam hal ini, ABIM memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping ikrar daripada individu yang dituduh," katanya.

Mengulas pananyangan video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bekas pemimpin ABIM, Dr Muhamad Razak berkata, kegagalan memenuhi prasyarat yang ditetapkan akan meletakkan pihak yang terlibat dalam hukuman jenayah Qazaf.

Ia juga turut menafikan haknya sebagai saksi di masa-masa akan datang, tambah Dr Muhamad Razak.

Dalam konteks perundangan negara yang unik pula, tambahnya, mangsa tuduhan berhak mendapat perbicaraan dan membela dirinya sama ada melalui perundangan sivil atau erbicaraan Mahkamah Syariah.

"Justeru, ABIM menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan oleh Syariah untuk kebaikan bersama," katanya.

"ABIM juga meminta sebarang perbincangan serta perbicaraan kes hanya dilakukan oleh autoriti-autoriti yang berkenaan menerusi perundangan yang telah ditetapkan di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika."


Sunday, March 28, 2010

Institusi perkahwinan asas kestabilan umat

Dalam kita berasa gembira melihat peningkatan kesedaran terhadap kehidupan beragama di negara ini seperti terjelma di dalam pelbagai bidang kehidupan, pada masa sama, ruang gelap kehidupan yang bertentangan dengan nilai ajaran agama bertambah meluas. Peningkatan jumlah anak luar nikah ialah antara petanda ruang gelap itu yang menunjukkan kegiatan perzinaan semakin berleluasa dan tidak terkawal lagi. Persoalannya kenapa gejala ini berleluasa dan bagaimanakah kita boleh mengekang peningkatannya? Secara umum, gejala ini adalah antara kesan negatif perkembangan masyarakat terbuka hari ini. Penularan budaya hidup bebas dan penyebaran bahan bacaan dan tontonan yang bercorak tidak senonoh merapuhkan lagi identiti masyarakat terutama sebahagian muda mudi yang terhakis jati dirinya. Globalisasi budaya hidup yang bercorak hedonisme nampaknya merobek benteng nilai agama dan ketimuran yang tinggi masyarakat kita.

Monday, January 4, 2010

KENYATAAN MEDIA ABIM - POLEMIK KALIMAH ALLAH: ABIM KESAL KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.

ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik.

Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu. ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islam tersebut.

Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.

" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia

Friday, October 23, 2009

SEMINAR PENDIDIKAN TINGGI ISLAM KE VII

TEMA : MEMBINA GENERASI ILMUWAN ULUL ALBAB
OBJEKTIF
i. Memupuk kefahaman yang mendalam maksud disebalik generasi ilmuwan Ulu’l Albab.
ii. Menyelidiki kaedah terbaik dalam pendidikan Islam bagi melahirkan generasi ilmuwan Ulu’l Albab.
iii. Menganalisis pelbagai cabaran dalam usaha membina dan melahirkan Ulu’l Albab.
iv. Peranan yang perlu dimainkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Islam amnya dan Kolej Dar al-Hikmah khasnya dalam membentuk generasi ilmuwan Ulu’l Albab.

TARIKH: 31 OKTOBER 2009, Sabtu.
TEMPAT: Auditorium Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bangi.

PENGANJUR: Kolej Dar al-Hikmah, Sg. Ramal Dalam, Kajang, Selangor
TENTATIF PROGRAM
8.00 - 9.00 pagi
Pendaftaran peserta
9.00 - 9.15 pagi
Bacaan Al-Quran oleh: Saudara Ahmad Tarmizi (Psrt Akademi al-Qur'an ke 2)
9.15 – 9.45 pagi
Ucapan alu-aluanDato’ Dr. Siddiq FadzilPresiden Kolej Dar al-Hikmah
9.45 – 10.30 pagi
Ucaptama Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan Profesor, Kuliyyah Usuluddin & Perbandingan Agama UIAM, Mantan Rektor UIAM
10.30 – 11.00 Kudapan
11.00 - 12.45 tengahari
Slot 1: “Wawasan Pendidikan al-Hikmah : Pembinaan Generasi Ulu’l Albab”
1) Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar Senior Research Fellow, Pusat Dialog keTamadunanTimbalan Canselor (Akademik & Antarabangsa)
2) Ustaz (Dr.) Muhammad Uthman el-Muhammady Fellow Akademik Kehormat ISTAC, IIUM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H
Sesi Soal Jawab
12.45 tengahari - 2.00 petang
Makan tengahari & Solat Zuhur
2.00 - 3.15 petang
Slot 2 : “Pendidikan al-Hikmah : Langkah-langkah Ke Arah Merealisasikan Pembinaan Generasi Ulu’l Albab”
1) Pro. Dr. Nik Azis Nik PaProfessor , Jabatan Matematik dan Pendidikan Sains, Falukti Pendidikan, UM
2) Dr KH Abdullah Syukri Zarkasyi Pengarah Pondok Gontor, Indonesia
Sesi Soal Jawab
3.15 - 4.45 petang
Slot Forum : “Cabaran ‘Pendidikan Yang Liberalatif’”
Panel Forum : Fan Yew Teng (Aktivis Bebas)
Dr. Sarjit Gill (UPM)
Dr Yap Sin Tian (Presiden Diong Jong Zong )
Moderator:Datuk Sahlan Ismail (JPM)
Sesi Soal Jawab

5.00 petang Bersurai
Penyertaan
atau hubungi 03-8925 2392(Pn Salawati)(Pn Zahrah)(Pn Azizah : 012-2374642)
Yuran Organisasi : RM95
Yuran Pelajar / Individu : RM45
Pelajar KDH : RM35