Saturday, July 11, 2009

PEMANSUHAN PPSMI

ASSALAMUALAIKUM,

Pemansuhan PPSMI yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari disokong sepenuhnya oleh majoriti rakyat. Walaupun, terdapat sesetengah pihak yang menentang pemansuhan ini, fakta dan data yang dibentang menunjukkan dasar tersebut telah gagal untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Saya telah lama menekankan dalam mana2 perbincangan, penerangan dan diskusi bahawa cara terbaik untuk belajar sesuatu bahasa ialah dengan menguasai bahasa tersebut dengan memantapkan penggunaan tatabahasa, pertuturan dan kesusasteraannya. Contoh yang terbaik ialah dengan kita melihat para pelajar yang akan dihantar belajar oleh negara kita ke sesebuah negara yang tidak menggunakan Inggeris sebagai bahasa utama mereka seperti Peranchis, Jerman, Jepun ataupun Korea.

Kita akan dapati sebelum mereka mendalami ilmu dalam bidang apa sekalipun, mereka diwajibkan mengikuti dan lulus kursus intensif selama 3 bulan hingga ke setahun untuk memahirkan diri mereka dalam bahasa tersebut. Bukannya dengan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut. Justeru, pengumuman TPM yang menyebut penekanan terhadap pemantapan bahasa Inggeris akan dipertingkatkan melalui beberapa kaedah tambahan amat saya alu-alukan.

Namun terdapat satu kemusykilan tentang pengumuman pemansuhan PPSMI ini. Sewaktu PPSMI dikuatkuasakan, Kementerian Pelajaran hanya mengambil masa 6 bulan untuk ia dimulakan. Tetapi kini 2012 barulah hendak dikuatkuasakan. Sepatutnya, bermula 2010 pelajar tahun 1 dan 4 di sekolah rendah serta Tingkatan 1 dan 4 di sekolah menengah sepatutnya telah boleh bermula dengan Bahasa Melayu. Penterjemahan semula buku2 ke bahasa Melayu boleh dilakukan secara berperingkat seiring dengan proses pemantapan Bahasa Inggeris. Kenapa perlu hendak ditunggu sehingga 2012?

Kemukakan pandangan anda agar Abim Wilayah dapat membuat satu kenyataan akhbar sesegera mungkin berkenaan hal ini.

Zaihan Mahamud
Yang Di Pertua
Kajang 7.07 am
11 Julai 2009

0 comments:

Post a Comment