Friday, August 21, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

ASSALAMUALAIKUM,

Ramadhan datang lagi. Menginjak Ramadhan yang baru, pasti mengimbau kenangan Ramadhan yang lalu. Yang paling jelas kita rasakan ialah insan yang pergi meninggalkan kita. Mereka pergi tanpa sempat merasai kembali nikmat Ramadhan. Bagi saya pemergian tiga tahun berturut-turut amat dirasai apabila Paklang, kemudiannya Abah tersayang, dan tahun ini Kakak pula meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Allah lebih menyanyangi mereka. Moga roh mereka ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Ramadhan datang lagi. Amatlah malang jika kita yang masih dipanjangkan umur dan dikurniakan kesempatan oleh Allah tidak cuba untuk meraih rahmat dan keampunan daripada Allah dalam kesempatan Ramadhan ini. Jika kita mahu, sepenuh jadual Ramadhan ini kita ikuti, maka ia akan menjadi medan tarbiyah yang terbaik buat kita sebagai hamba dan insan yang lemah ini.

Ramadhan datang lagi. Tarbiyah Ramadhan mengajak kita untuk menghisab, menelusuri, menginsafi erti hidup kita. Masih ingatkah kita kenapa kita dijadikan? Masih setiakah jiwa kita untuk bersaksi yang kita ini dipilih oleh Rabbul Jalil sebagai Khalifah di muka bumi ini. Masih ingatkah peranan kita yang mahu sedaya upaya menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Tarbiyah ramadhan adalah pemugar semangat fisabilillah ini.

Ramadhan datang lagi. Allah telah aturkan dengan bijaksana. Bukan sahaja dengan merehatkan tubuh badan kita dari segala macam nikmat makanan dan minuman yang melampau, meningkatkan kekuatan fizikal dan penumpuan kita, secara dasarnya kita diperingatkan dengan menguatkan roh dan jiwa untuk mendepani cabaran di dunia ini moga berjaya kemudiannya mendapat maghfirah Allah di akhirat kelak.

Ramadhan datang lagi. Sungguh bertuah kita. Allah telah menjanjikan segala macam pahala berlipat kali ganda. Diturunkan mukjizat Al Quran di dalamnya untuk kita baca dan hayatinya. Setiap ibadah kita digandakan sekian banyaknya. Tidak cukup dengan itu dikurniakan pula Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam yang semua makhluk sujud mengharapkan redha Ilahi. Alangkah baiknya kalau malam itu kepunyaan kita.

Ramadhan datang lagi. Doaku moga Ramadhan ini akan lebih baik dari yang sebelumnya. Moga amal ini menjadi amalan yang dibawa ke akhirat kelak. Moga Allah mempertemukan lagi Ramadhan buat kita. Tapi jika tidak..jadikan amalan Ramadhan ini amalan terbaik yang boleh kita bawa.
Selamat beribadah dan menghayati semangat Ramadhan.
YDP Wilayah
Zaihan Mahamud

0 comments:

Post a Comment