Tuesday, September 1, 2009

Isu Bantahan Pembinaan Kuil Sek. 23, Shah Alam: ABIM Nasihatkan Masyarakat Islam Supaya Berhemah Dalam Berbantah & Jaga Keharmonian Agama Di Malaysia

Siaran Media ABIM

29 Ogos 2009 : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menasihatkan masyarakat Islam di negara ini supaya berhemah dalam menyuarakan ketidakpuasan hati di dalam apa juga persoalan, terutama yang membabitkan isu-isu agama. Ini bagi memastikan supaya segala tindak-tanduk di dalam berbantah tidak menyumbang kepada terpudarnya imej agama Islam yang amat menekankan rukun hidup yang aman dan harmoni di antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Di dalam hubungan ini, sebarang tindakan yang boleh ditanggap dan ditafsirkan sebagai menghina simbol-simbol kesucian agama lain hendaklah dijauhi. Ini kerana, ia boleh mengundang reaksi yang buruk terhadap keharmonian beragama dan menajamkan lagi sikap prejudis di antara penganut agama. Prinsip akhlak dan adab Islam di dalam menangani pertikaian berkaitan persoalan melibatkan agama hendaklah dihayati oleh masyarakat Islam di negara ini. Ini sejajar dengan Firman Allah di dalam surah al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengentahuan (mengenai Allah). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitahu mereka kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”.

Sehubungan dengan itu, ABIM amat sedih dan memandang berat tindakan Jawatankuasa Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 yang membawa kepala lembu yang telah disembelih semasa majlis bantahan. Ini kerana, tindakan ini boleh ditanggap dan disalahtafsir oleh penganut agama Hindu sebagai satu tindakan menghina agama mereka oleh masyarakat Islam. Umat Islam juga dinasihatkan supaya merujuk ahli agama yang arif di dalam membuat apa juga bentuk tindakan yang secara langsung membabitkan agama lain. Ini bagi memastikan kesucian agama Islam dan kehormatan Ummah sentiasa terpelihara.

ABIM turut menggesa agar umat Islam di Shah Alam dan Kerajaan Negeri Selangor untuk percepatkan perbincangan berhubung dengan isu ini supaya ia tidak berlarutan dan boleh mengundang salah faham yang berterusan. Amalan dan budaya dialog hendaklah diamalkan sehingga ke tahap tertinggi di dalam menangani isu ini. ABIM percaya dan yakin masih terdapat ruang untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam suasana yang lebih kondusif dan bukannya dalam situasi tegang yang dikhuatiri mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama. Inilah perkara terakhir yang kita perlukan buat masa ini.

Dalam konteks ini, ABIM menggesa Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berwajib agar mempertimbangkan secara serius tuntutan penduduk setempat Seksyen 23 dengan mengkaji semula cadangan untuk menempatkan kuil di situ. Hakikat bahawa kawasan tersebut dihuni oleh majoriti penduduk beragama Islam dan ia telah mencarik sensitiviti mereka tidak harus dipandang ringan oleh pihak berwajib.


MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

Post a Comment